Android & iOS

Android & iOS : Menguasai Lautan Dengan Hungry Shark World Daripada Ubisoft

Diolah oleh Konsol

Jerung adalah suatu makhluk ciptaan Allah S.W.T yang diciptakan sebagai pemburu terbaik di dunia ini.

Antara kebolehan jerung yang tidak ada pada mahkluk cipataan Allah S.W.T yang lain adalah seperti sifat ingin tahu yang tinggi, bijak di dalam merangka strategi untuk memerangkap mangsa dan mempunyai perwatakan yang amat mengerunkan.

Sehingga ke hari ini, kami masih lagi mempunyai sifat takut untuk menyelam di lautan kerana takut akan menjadi salah satu daripada mangsa kepada raja lautan ini.

Apabila kami membayangkan detik-detik dikejar oleh jaguh pemangsa ini, ia cukup untuk membuat kaki kami menggeletar ketakutan malah rasa seperti ingin terkucil.

Walaupun manusia tidak mempunyai sifat-sifat pemburu hebat seperti yang diberikan kepada jerung, tetapi kita perlulah berasa bersyukur kepada Allah S.W.T kerana kita telah diciptakan sebagai sebaik-baik mahkluk di dunia ini dan diamanahkan untuk menjadi seorang khalifa di muka bumi Allah S.W.T ini.

Okay cukuplah tu mukadimahnya, apa kata kita berbalik kepada topik sebenar iaitu permainan video untuk telefon Android dan iOS yang dinamakan Hungry Shark World.

Pengenalan 

Kira-kira 1 tahun yang lepas iaitu pada 6 May 2016, pengeluar permainan video terkemuka dunia iaitu Ubisoft telah melancarkan permainan Hungry Shark World yang boleh dimainkan pada telefon Android dan iPhone.

Secara ringkas, permainan ini akan membolehkan anda mengawal seekor Jerung pada satu-satu masa, dan misi anda pula adalah untuk memakan semua hidupan lain di dalam lautan yang anda lalui.

Di permulaan permainan, anda akan di beri ikan jerung bersaiz kecil. Seterusnya dengan ikan Jerung bersaiz kecil ini, anda akan memulakan kerjaya anda sebagai pemangsa nombor satu dunia dengan memakan hidupan lain di lautan yang anda lalui.

Setiap kali anda memakan hidupan lain, anda akan dikurniakan dengan syiling, markah, serta tahap anda akan meningkat. Apabila anda mencapai suatu tahap, maka anda layak untuk membeli Jerung yang lebih besar dan mengawalnya di dalam permainan ini.

Begitulah seterusnya perjalanan permainan ini sehinggalah anda layak untuk membeli seekor Jerung lagenda dunia yang paling digeruni iaitu Megalodon.

Bukan sahaja saiz Megalodon yang besar umpama sebuah bas sekolah, tetapi dengan melihat rupa paras Megalodon sahaja, pasti membuatkan semua hidupan laut yang lain mempunyai mimpi ngeri di malam hari.

Tapi nasib baik, Jerung Megalodon ini telah pupus di dalam kehidupan sebenar kira-kira 1.5 juta tahun yang lepas.

Huh! lega, kalau tak mesti kami tak akan jejakkan kaki di Port Dickson.

Cara Kawalan

Okay, untuk mengawal Jerung anda ianya sangat mudah. Di atas skrin anda akan disertakan dengan pengawal analog di sebelah kiri skrin. Pengawal analog ini berfungsi untuk menggerakkan Jerung anda ke hadapan, belakang, kiri, kanan, atas dan bawah.

Setiap kali anda bergerak, dan anda sampai di hapadan hidupan lain, secara automatik Jerung anda akan memakan hidupan itu, dan bunyinya seperti anda mengunyah biskut.

Selain pengawal analog, anda juga akan disertakan dengan satu butang Boost di bahagian kanan skrin telefon anda. Butang Boost ini apabila ditekan, akan menyebabkan Jerung anda berenang dengan lebih pantas.

Cuma perlu diingatkan, butang Boost ini mempuyai had untuk digunakan. Satu penunjuk Boost juga disertakan dibahagian atas skrin untuk menunjukkan tenaga Boost yang masih boleh anda gunakan.

Apabila ia telah habis, anda perlulah menunggu seketika sebelum tenaga Boost ini diisi semula dan anda boleh menggunakannya lagi.

Misi Tambahan

Selain dari misi untuk memakan semua hidupan di lautan. Permainan ini juga membawakan beberapa misi khas yang akan dijadualkan pada masa-masa tertentu.

Anda boleh menyertai misi-misi khas ini mengikut tahap saiz Jerung yang telah anda miliki. Selain daripada itu, misi tambahan ini juga menawarkan hadiah-hadiah misteri yang cukup menarik pada setiap misi.

Rumusan

Jadi sekiranya anda seorang pemain permainan video pada telefon pintar. Kami mencadangkan anda untuk mencuba permainan ini.

Permainan ini bukanlah permainan yang gempak dan berat seperti Assassin Creed, tetapi ia lebih kepada permainan santai yang ringan, serta dapat menenangkan si pemain daripada segala tekanan.

Semua misinya juga adalah misi-misi yang bagi kami tidak terlalu berat, dan amat sesuai untuk dimainkan sekiranya anda ingin menghabiskan masa terluang.

Apa kata nanti masa teman awek beli baju raya, sambil-sambil tunggu dorang pilih baju, kita cuba layan permainan ini 🙂

Anda boleh memuat turun permainan Hungry Shark World ini sekarang di Apple AppStore dan Google Play Store.

Ada apa-apa maklumat yang kami terlepas? Kongsikan pendapat anda di Facebook , Twitter ataupun Instagram kami.

LIKE dan SHARE Facebook Konsol.My jika anda menyukai info terkini tentang permainan video di Malaysia.