Tips

FIFA 17 – Pilihan Formasi

Carlos Afifi
Diolah oleh Carlos Afifi

Anda tertanya-tanya formasi taktikal terbaik untuk FIFA 17? FIFA 17 mempunyai 25 formasi yang berbeza. Setiap pemain video permainan FIFA 17 yang berpengalaman mempunyai cara permainan mereka tersendiri.

Tetapi anda masih lagi tercari-cari formasi terbaik? Di sini kami akan mengulas 5 formasi kegemaran kami, mungkin ianya akan dapat membantu anda memilih formasi yang terbaik untuk pasukan kegemaran anda.

Formasi 3-5-2:
Salah satu formasi yang lebih seimbang dengan 3 pertahanan, pertahanan akan disokong dengan baik di bahagian tengah oleh pemain yang bermain di posisi tengah bertahan.

Pemain pertahanan untuk formasi ini juga perlu menjana pergerakan dari kawasan sendiri agar pemain sayap dan pemain tengah bersedia di kedudukan serangan untuk menerima bola.

Oleh itu, anda memerlukan pemain sayap yang berstamina tinggi dan mempunyai mutu pertahanan yang agak baik untuk membantu di bahagian pertahan sekiranya pasukan anda menghadapi serangan balas pantas dari posisi sayap.

Sesuai digunakan ketika menentang pasukan yang berformasi 4-3-2-1

Kelebihan

  • Sangat berkesan untuk mengekang pasukan yang mempunyai cara permainan kreatif yang bermula dari bahagian tengah.
  • Secara keseluruhannya agak seimbang di bahagian pertahanan dan serangan
  • Sesuai untuk pasukan yang mempunyai pemain tengah bertahan yang baik.
  • Sesuai untuk pasukan yang mempunyai pertahanan sayap kiri dan kanan yang mempunyai mutu pertahanan dan serangan yang baik.

Kekurangan

  • Mudah terdedah kepada serangan dari kedudukan sayap.
  • Terlalu bergantung kepada pemain tengah serangan jika ingin melakukan gerakan serangan dari kawasan tengah.

Formasi 4-2-3-1:
Formasi ini sesuai digunakan untuk pasukan yang ingin bermain secara bertahan.

Mempunyai dua pertahanan tengah dan dua pemain tengah bertahan, membolehkan anda memperlahankan tempo permainan dan menunggu untuk melakukan serangan balas pantas.

Pemain yang pantas di bahagian sayap dan tengah diperlukan untuk melakukan serangan balas pantas.

Anda mungkin perlu banyak melakukan bola hantaran jauh kerana formasi ini menggunakan penyerang tunggal yang sentiasa berlegar keseorangan di bahagian serangan.

Penyerang yang bercirikan “target man” yang mempunyai kekuatan fizikal dan penyudah di udara yang baik memang diperlukan untuk formasi ini.

Sesuai digunakan ketika menentang pasukan yang berformasi 3-5-2

Kelebihan

  • Boleh banyak mencipta peluang serangan.
  • Serangan balas pantas mudah dipatahkan dengan kehadiran dua pemain tengah bertahan.
  • Mudah untuk menguasai bahagian tengah.

Kekurangan

  • Pemain tengah bertahan akan cepat letih kerana memainkan dua peranan, perlu membantu pertahanan dan kembali mengisi kekosongan kawasan tengah secepat mungkin.
  • Kawasan tengah mudah untuk menjadi kucar kacir dan sesak apabila pemain tengah bertahan dan pemain tengah serangan berada di kawasan yang sama.

Formasi 4-1-2-1-2:
Formasi yang agak seimbang di seluruh kawasan. Formasi ini sangat sesuai jika di bawah tekanan serangan yang berterusan dan jika anda ingin kembali menguasai bola.

Dengan adanya pemain tengah bertahan di hadapan dua pertahanan yang membantu pertahanan dan pemain tengah menyerang di belakang dua penyerang, membuatkan formasi ini cukup seimbang.

Pemain tengah menyerang dapat membantu untuk mencipta peluang serangan dari bahagian tengah, sementara pemain sayap pula membantu mencipta peluang dari bahagian sayap.

Kelebihan

  • Sangat seimbang dari semua sudut.
  • Dapat menyerap serangan dan tekanan dgn baik
  • Mudah untuk mengusai bola.
  • Serangan yang variasi – hantaran jauh, hantaran silang dan hantaran pendek

Kekurangan

  • Penguasaan bola dapat diekploitasi oleh pasukan yang menggunakan formasi yang ramai pemain tengah.
  • Ada kalanya terlalu bergantung kepada pemain tengah menyerang untuk mencipta peluang.

Sesuai digunakan ketika menentang pasukan yang berformasi 4-5-1

Formasi 4-4-2:
Formasi ini memang cukup popular di dalam dunia bola sepak.

Terkenal dengan struktur pertahan yang baik. Kombinasi yang baik dari pemain tengah dan penyerang memang diperlukan untuk formasi ini.

Pemain tengah akan memberi sokongan dari segi serangan dan juga pertahanan.

Penyerang pula akan mendapat variasi sokongan seperti dari bahagian tengah atau bahagian sayap.

Variasi serangan dapat ditambahkan lagi jika anda mempunyai seorang penyerang yang mempunyai larian yang laju dan seorang lagi penyerang yang mempunyai penyudah yang baik di udara.

Kelebihan

  • Pilihan yang paling selamat bagi anda yang tidak pasti untuk memilih formasi yang bersesuaian.
  • Bagus di bahagian serangan melalui bahagian tengah atau pun sayap. Pertahanan sayap juga dapat membantu.

Kekurangan

  • Formasi yang mudah diramal oleh pihak lawan.
  • Sesetengah pemain tengah memerlukan mutu pertahanan yang baik untuk membantu bahagian pertahanan

Sesuai digunakan ketika menentang pasukan yang berformasi 4-5-1

Formasi 4-3-3:
Formasi ini adalah formasi yang paling kami gemar dan cukup popular dengan pelbagai variasi.

Antaranya adalah bertahan dan juga nombor 9 palsu.

Sesuai untuk permain yang gemar melakukan hantaran lintang dari sudut sayap dan selalunya peluang di cipta melalui bahagian sayap.

Bermain secara bertahan dengan formasi ini, anda memerlukan pemain tengah bertahan yang baik dan sesuai jika anda gemar mengawal bola sepanjang permainan dan tidak kisah peluang serangan agak kurang.

Nombor 9 palsu, sesuai untuk pemain yang gemar untuk mengawal tempo permainan dan mengawal bola sepanjang permainan.

Harus diingat, kombinasi dua pemain sayap yang pantas dan penyerang yang mempunyai lompatan dan tandukan yang bagus amat diperlukan untuk formasi ini.

Kelebihan

  • Serangan pantas dari bahagian sayap
  • Pemain tengah menyerang yang kreatif dapat mengeksploitasi ruang di belakang penyerang

Kekurangan

  • Terdedah dengan serangan balas
  • Pertahanan akan terdedah

Bonus

Terdapat hanya satu formasi yang boleh anda gunakan pada sepuluh minit terakhir jika anda memerlukan gol minit terakhir dan sudah tentunya…..

Formasi 4-2-4:

Mungkin formasi yang paling menyeronokkan, kerana ianya membuatkan pasukan anda cukup terdedah di bahagian pertahanan tetapi pada masa yang sama cukup berbahaya di bahagian serangan.

Kami di sini menggunakan formasi ini selalunya untuk bergelak ketawa dan berseronok, akan tetapi jika anda benar-benar kesuntukan masa dan memerlukan gol penting. Inilah formasi yang patut anda gunakan.

Rumusan

Setiap formasi yang diterangkan di atas memang mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Walaubagimanapun ia terpulang pada kehebatan anda untuk memerangkap pihak lawan ketika permainan berlangsung.

Ingat! permainan Fifa 17 bukanlah permainan fizikal semata-mata, ia lebih kepada merancang dan melaksanakan strategi anda dan seterusnya memenangi perlawanan dengan jayanya.

Jika anda telah melakukan segala-galanya, tetapi masih lagi gagal untuk menjadi hebat di dalam permainan Fifa 17 ini, mungkin ini masanya anda beralih ke permainan lain hehe 🙂

Adakah 5 pilihan formasi pilihan kami ini bersesuaian dengan pilihan anda? Mungkin ya, mungkin tidak. Tinggalkan formasi pilihan anda di ruangan komen.

Sekiranya anda berminat, kami juga ada menulis tentang ‘Golden Boy’ dalam FIFA17 ‘career mode’

Like Facebook Konsol.My untuk mendapatkan info terkini tentang permainan video tanah air.