Pilihan Kami Tips

FIFA 17 – Taktikal Untuk Menguasai Pihak Lawan

Carlos Afifi
Diolah oleh Carlos Afifi

FIFA 17 sudah pun beberapa bulan berada di pasaran dah kita telah dapat melihat pelbagai corak permainan khususnya ketika bermain di atas talian. Sama ada taktik asal atau taktik yang telah di ubah suai.

Pada artikel yang lepas kami telah membuat ulasan untuk formasi pilihan kami. Pada minggu ini kami akan ulas tentang pengubahsuaian taktik berdasarkan taktikal yang direka oleh pemain permainan video FIFA profesional, HekTic_JukeZ.

Baca di sini untuk mengetahui tentang pilihan formasi FIFA17


Membina Corak Permainan

Kepantasan (Speed)

Ini menentukan rentak yang mana pemain anda mara ke kawasan lawan. 70 adalah cepat, tetapi tidak terlalu cepat. Boleh dikatakan agak ideal. Lebih dari itu akan membuat pasukan anda agak terbuka dan terdedah kepada serangan balas.

Hantaran (Passing)

Nilai di sini akan mengawal cara pemain anda untuk menerima hantaran bola. Dalam anggaran 30 pemain anda akan datang berdekatan pembawa bola untuk menerima bola.

Anggaran 70 pula pemain akan berada berjauhan dengan pembawa bola. Nilai 50 adalah nilai ideal. Sesuai untuk hantaran pendek dan jauh.

Posisi (Positioning)

Struktur yang tersusun (Organised) adalah kunci untuk menghubungkan segala hantaran dan supaya anda tahu di mana pemain anda akan berada untuk menerima hantaran.

Struktur bergerak bebas (Free Form) pula akan menyebabkan penyerang berada di kawasan sayap dan pertahanan sayap akan bebas bergerak keluar dari posisi. Tidak sesuai untuk permainan High Line yang kita akan gunakan.

Penghasilan Peluang (Chance Creation)

Hantaran (Passing)

Hantaran di dalam Penghasilan Peluang (Chance Creation) akan menentukan bagaimana pemain anda untuk menerima hantaran.

Nilai yang rendah berguna untuk hantaran jauh dan kurang berisiko kerana pemain anda akan berada di posisi yang agak jauh dari pemain pertahanan pihak lawan.

Nilai yang tinggi pula sesuai jika anda gemarkan hantaran-hantaran pendek di hadapan pintu gol pihak lawan tetapi agak berisiko kehilangan bola kerana hantaran perlu di lakukan secara terus di antara pemain pertahanan lawan.

Sekali lagi, 70 adalah nilai yang ideal.

Rembatan Gol (Shooting)

Dengan nilai yang tinggi, pemain anda akan berada di posisi pinggir kotak penalti untuk terus melakukan rembatan ke arah gol.

Pada nilai yang rendah pula penyerang akan lebih berada ke dalam kotak penalti dan cenderung untuk menjaringkan gol dengan cara tolakan mudah. Barcelona adalah contoh terbaik.

Kami mencadangkan nilai 20 untuk Rembatan Gol (Shooting) agar anda boleh fokus kepada hantaran dan berlari ke belakang pemain pertahanan lawan dan melakukan tolakan mudah ke dalam gol.

Hantaran Lintang (Crossing)

Apabila anda bermain dengan hantaran lintang yang rendah (kurang dari 30), pemain anda cenderung untuk berada di pinggir kotak penalti.

Jika tinggi pula (lebih dari 70) pemain anda akan berada di posisi tengah kotak penalti dan berdekatan dengan pintu gol.

Di sini kami mencadangkan 60 kerana ianya agak seimbang.

Posisi (Positioning)

Posisi ini akan menentukan kedudukan pemain anda hanya di kawasan pihak lawan, lebih kepada posisi penyerang dan pemain sayap.

Free Form” hanya patut digunakan sekiranya anda mempunyai pertahanan sayap yang mampu untuk membantu bahagian serangan seperti Marcelo, David Alaba dan lain-lain.

 Baca di sini untuk mengetahui ‘golden boy’ dalam FIFA 17

Organised” adalah satu pilhan yang selamat jika anda ingin mengawal pertahanan sayap anda agar tidak terlalu ke atas ketika melakukan serangan.

Pertahanan (Defence)

Tekanan (Pressure)

Tekanan dalam ulasan ini adalah berkaitan dengan bagaimana garisan terakhir pertahanan akan berada. Semakin tinggi nilai semakin jauh pertahanan anda dari kawasan kotak penalti anda.

Jika anda memilih 30, pertahanan anda akan berada berhampiran kotak penalti anda. Tetapi untuk ulasan ini kita akan memilih 60 kerana kita ingin menguasai permainan. Maka, permain pertahanan perlu berada sedikit jauh dari kotak penalti.

Agresif (Aggression)

Taktik ini akan menentukan bagaimana pemain anda merampas bola. 50 di sini adalah nilai yang sesuai dengan permain pertahanan yang berposisikan agak jauh dari kotak penalti, agar tiada ruang kosong yang ditinggalkan ketika pemain lawan mengawal bola.

Ini adalah kerana pertahanan anda akan lebih kerap membuat tekanan (pressing) ke atas pemain lawan yang mengawal bola.

Kelebaran Pasukan (Team Width)

Kelebaran pasukan (Team Width) di sini menentukan bagaimana posisi pemain pertahanan anda ketika bertahan.

Narrow” ertinya pemain pertahanan sayap dan pemain tengah anda akan cuba untuk menjaga bahagian tengah ketika bertahan dan meninggalkan ruang di kawasan yang sayap.

Wide” pula pertahanan sayap dan pemain tengah akan berada di posisi sayap ketika bertahan dan meninggal ruang di kawasan tengah.

Kita akan memilih “Narrow” untuk contoh ini untuk memastikan kita sentiasa mempunya pilihan untuk menghantar bola. Formasi yang sesuai untuk contoh ini adalah seperti 4-1-2-1-2, atau 4-3-3.

Garisan Pertahanan (Defender Line)

Cover” adalah penting untuk membuatkan AI secara automatik membuat pemain lain mengisi ruang kosong yang ditinggalkan rakan sepasukan.

Ini adalah penting jika anda akan bermain secara “Free Form”, jika tidak pertahanan anda akan mempunyai ruang kosong yang ditinggalkan.

Rumusan

Adakah taktik ini akan menjanjikan anda sebagai pemain FIFA 17 yang hebat? Mungkin tidak. Sudah pasti ramai lagi pemain di luar sana yang mempunyai pemahaman taktik yang lebih baik daripada kami.

Jika anda ada sebarang komen dan pandangan tentang taktik yang diubah suai ini, sila kongsikan dengan kami. Anda boleh tinggalkan pandangan anda di ruangan komen. Selamat mencuba!

Nota: Nantikan artikel FIFA 17 akan datang. Kami akan mengulas Taktik Ubah Suai (Custom Tactics) untuk anda yang gemarkan permainan Serangan Balas (Counter Attack)

Like Facebook Konsol.My untuk mendapatkan info terkini tentang permainan video tanah air.