Pilihan Kami Ulasan

Mencari Khidmat Teras Jalur Optik Internet Yang Terbaik di Malaysia

Diolah oleh hang92

Tepuk dompet, hey tanyalah selera

Untuk bermain permainan di dalam talian, anda memerlukan sokongan dari khidmat jalur lebar yang berkelajuan tinggi. Sebagai pengguna yang bijak, anda perlu memilih antara perkhidmatan jalur lebar manakah yang paling menguntungkan, baik dari segi kelajuan atau baik dari segi nilai ringgit perkhidmatan tersebut.

Perlu diingatkan bahawa artikel ini adalah mengenai perbandingan khidmat teras jalur optik atau juga dikenali sebagai fibre optical core. Anda jangan keliru dengan khidmat kelajuan tinggi yang menggunakan jalur tembaga, olahan dibawah memberi fokus terhadap khidmat kelajuan tinggi internet yang menggunakan jalur optik sebagai penghubung di antara internet dan anda.

Beberapa perkhidmatan jalur lebar yang menggunakan jalur optik sebagai asas kepada internet boleh didapati Malaysia khususnya di kawasan bandar. Penyedia perkhidmatan lebih gemar memfokuskan perkhidmatan mereka di kawasan bandar dan disekeliling pusat bandar mungkin kerana ini adalah taktik awal untuk strategi pemasaran mereka. Sebagai contoh, antara perkhidmatan terkenal yang boleh dilanggan adalah seperti TM UniFi, TIME Fibre Home Broadband, Maxis Fibre Internet dan Astro IPTV.

TM UniFi

Dengan bajet serendah RM 210.94 (termasuk GST), anda layak untuk mendapatkan kelajuan sebanyak 30Mbps dan pakej langganan tv yang tertentu. Jika dibahagikan jumlah langganan sebulan dan kelajuan maka 1Mbps adalah bersamaan dengan RM 7.03 atau dibahagi kepada jumlah hari dalam setiap bulan anda membayar sebanyak RM 7.03 sehari.


sumber :  https://www.tm.com.my/

Kelebihan

Untuk kelajuan 30Mbps dan pakej tv yang ditawarkan adalah amat menguntungkan. Itu belum termasuk pemasangan secara percuma, HyppTV yang boleh disaksikan secara mudah-alih dengan mana-mana gajet, akses percuma dimana-mana tempat yang menyediakan TM Wifi, telefon tanpa cord percuma, modem dan pelbagai lagi.

Kestabilan talian internet diperlukan untuk bermain permainan di atas talian kerana anda tidak mahu permainan anda tersekat-sekat dan berhadapan dengan kesukaran untuk berhubung dengan pemain di dalam talian lainn. Perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi daripada TM ini adalah amat stabil dan seperti anda sedia maklum bahawa TM merupakan syarikat pelopor di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan seperti ini dan syarikat ini juga berpengalaman luas dalam menyediakan perkhidmatan terbaik untuk pelanggannya.

Kekurangan

Walaupun harga yang ditawarkan termasuk kelajuan internet jalur lebar serta pakej tv langganan dirasakan berbaloi untuk nilai ringgit anda namun terdapat beberapa kelemahan yang boleh dipertengahkan.

Nilai muat turun dan muat naik pada pakej yang ditawarkan oleh TM UniFi juga berbeza. Seperti contoh nilai muat turun adalah 30Mbps tetapi nilai muat naik adalah 5Mbps. Hal ini adalah kerana Telekom Malaysia mengatakan 90% pengguna Unifi menggunakan kurang daripada 5Mbps untuk muat-naik, dan kebanyakkan aktiviti pengguna adalah kepada muat-turun data.

Hal ini boleh menganggu permainan dalam talian dimana sekiranya anda bertindak sebagai perumah sesuatu permainan anda memerlukan kestabilan internet yang setara agar tidak menjadikan permainan anda tersekat-sekat

Selain daripada itu, anda sebagai pemain konsol, anda bergilir di antara sesi permainan dan rancangan tv. Anda juga berkongsi giliran dengan keluarga anda memandangkan anda hanya mempunyai 1 televisyen. Anda juga berkongsi giliran dengan diri anda sendiri dimana anda merupakan peminat setia bola Manchester United, perkhidmatan jalur lebar berkelajuan internet daripada TM UniFi ini kekurangan dalam hanya satu perkara, iaitu dari segi kandungan di dalam HyppTV.

TM UniFi seperti yang anda sedia maklum telah menamatkan kerjasama dengan Measat Broadcast Asia (Astro) dimana semua rancangan sukan dari Astro Supersport telah ditamatkan serta merta. Ini telah menyebabkan ramai pelanggan TM UniFi telah melancarkan aduan terutamanya daripada peminat EPL dan La Liga Spanish.

Selain itu, kandungan yang lemah dari HyppTV dimana jenama siaran tertentu tidak sekuat seperti jenama kandungan dari penyedia tv langganan lain juga menyebabkan TM UniFi gagal memonopoli pasaran jalur lebar tempatan


sumber : https://www.tm.com.my/

TIME Fibre Broadband

100Mbps dengan harga RM 156.88 (termasuk GST) merupakan harga yang paling unik dan berbaloi untuk dimiliki. Jika dibahagikan 100Mbps dan RM 156.88 maka setiap Mbps adalah bersamaan RM 1.57 ataupun dalam sehari anda sebenarnya hanya membayar RM 5.23 untuk mendapatkan kelajuan 100Mbps


Kelebihan

Kelajuan 100Mbps ini tidak seperti penyedia perkhidmatan internet lain dimana kelajuan muat turun dan muat naik adalah asimetri. Maka sekiranya anda bermain secara dalam talian, masalah seperti tersekat-sekat tidak sekali akan terjadi kerana kesamaan kelajuan ini tadi.

Pada waktu dahulunya semasa era internet jalur lebar menggunakan jalur optikal diperkenalkan, anda memuat turun sesuatu permainan di stor atas talian selama berjam-jam bahkan ada yang mengambil masa selama semalaman, tetapi dengan 100Mbps anda hanya perlu tunggu tidak lebih dari 1jam dan seterusnya anda sedia bermain permainan tersebut.

100Mbps ini juga amat baik sekiranya bilangan isi rumah anda melebihi 5 orang — maaf tidak tepat. 100Mbps ini juga adalah terbaik sekiranya bilangan gajet yang aktif ada di dalam rumah tidak melebihi 10 buah dimana setiap gajet dapat memanfaatkan kelajuan tersebut secara optimum

Kekurangan

Anda menunjukkan minat untuk melanggani TIME Fibre Broadband? Nanti dahulu, sila semak tahap ketersediaan premis yang anda duduki kini. Anda boleh layari www.time.com.my untuk menyemak tahap ketersediaan premis rumah anda.

TIME Fibre Broadband hanya meliputi kawasan kondominium mewah, separa mewah dan sederhana di pusat bandar terpilih dan juga kawasan teres di Cyberjaya sahaja. Ini menunjukkan syarikat TIME dotCom hanya memfokuskan pasaran di bangunan-bangunan terpilih sebagai salah satu strategi pemasaran mereka. Tidak diketahui apa alasan mereka berbuat sedemekian.

Selain itu, walaupun pakej penawaran 100Mbps ini tampak menarik tetapi ianya adalah terhad kepada 100Gb kuota sahaja, selepas had muat turun habis digunakan kelajuan internet akan turun kepada 10Mbps

Umum mengetahui bahawa syarikat TIME dotCom menyediakan pakej jalur lebar melalui jalur optikal mereka tetapi mereka tidak menyediakan kandungan TV sendiri — mungkin itu sebabnya kenapa mereka boleh menawarkan kelajuan yang tinggi dengan harga yang kompetitif tanpa ada kos untuk menerbitkan kandungan sendiri

Sekali lagi diulang bahawa pemain konsol sebenarnya berkongsi giliran dengan diri mereka dan ahli keluarga mereka untuk membahagikan masa antara permainan dan siaran TV. Sekiranya ada sanak-saudara yang datang mengunjung rumah di hujung minggu, takkan anda akan tunjukkan bahawa diri anda sebagai pemain konsol yang tegar, dengan serta merta anda akan mematikan permainan tersebut dah beralih kepada siaran TV berbayar kerana terdapat kandungan yang menarik untuk ditonton. Hal ini menunjukkan walaupun anda mempunyai kelajuan internet yang tinggi dan dalam masa yang sama anda juga melanggan pakej kandungan TV swasta, ianya masih melebihi bajet bulanan yang telah anda fikir sebelum ini

Maxis Fibre Internet

Pihak Maxis juga tidak mahu ketinggalan dalam menawarkan pakej jalur lebar yang terbaik untuk pengguna. Melalui pakej MaxisONE daripada pihak Maxis, pakej jalur lebar berkelajuan tinggi menggunakan jalur optikal hanya berharga RM 135.68 (termasuk GST) sebulan dengan berkelajuan 10Mbps. Ini bermakna setiap 1Mbps adalah berharga RM 13.57 atau purata sehari langganan sebulan adalah bersamaan RM 4.52


sumber : https://www.maxis.com.my/

Kelebihan

Tidak seperti TIME Fibre Broadband, Maxis Internet Fibre tidak mempunyai kuota kelajuan tertentu dimana tiada had untuk muat turun selagi anda membayar bil pada setiap bulan — sangat jelas

Sekiranya anda adalah pengguna talian Maxis sejak bertahun dahulu, lebih baik anda mendaftar sebagai pengguna MaxisONE kerana pelan ini merupakan pelan pakej yang terbaik untuk pengguna telefon bimbit dan gajet-gajet lain yang sedang anda gunakan. Untuk mendapatkan harga yang tawarkan syarat pertama anda mestilah seorang pengguna MaxisONE. Untuk maklumat lanjut mengenai pakej syarikat telekomunikasi Maxis anda boleh melayari https://www.maxis.com.my/

Pelbagai penjimatan yang anda dapat lakukan dengan pakej menarik daripada MaxisONE ini dimana ianya merangkumi kesemua aspek yang menekankan teknologi perhubungan seperti penggunaan data di telefon bimbit, kadar panggilan talian tetap di rumah, kelajuan jalur lebar yang tinggi seperti jalur optikal yang disediakan beserta diskaun dan anda tidak perlu bersusah payah untuk membayar di lain-lain premis perniagaan kerana ianya semua dalam satu bil.

Maxis Home Fibre menggunakan modem daripada syarikat Huawei dan umum mengetahui kebolehpercayaan terhadap syarikat ini adalah sangat memuaskan. Sekiranya syarikat Huawei mampu mengeluarkan telefon bimbit yang berkualiti tinggi sudah tentu modem yang dikeluarkan juga adalah berkualiti tinggi, hal ini penting untuk menjamin kestabilan internet semasa anda bermain permainan dalam talian.

Kekurangan

Untuk pengetahuan anda, sesetengah kawasan yang tidak dapat ditembusi oleh pihak Maxis (kerana kerajaan telah menganugerahkan konsesi jalur lebar optikal sesetengah kawasan terdahulu kepada TM) maka Maxis akan menjalankan kerjasama dengan pihak TM UniFi. Maxis Fibre Home akan menggunakan TM UniFi sebagai tulang belakang internet setiap rumah dan Maxis akan menyediakan router, modem dan telefon untuk talian tetap.

Jika berlaku gangguan dari segi teknikal maka bukan hanya pihak Maxis yang terlibat bahkan pihak TM juga akan turun untuk membaiki kerosakan kerana disebabkan kerjasama ini tadi. Di dalam dunia permainan, sekiranya anda menghadapi masalah gangguan internet jumlah masa selama 48jam yang diberikan oleh pihak khidmat pelanggan Maxis pasti akan berlanjutan sehingga seminggu kerana kelewatan pihak ketiga dalam memenuhi jadual pembaikian ini.

Astro IPTV

Penyedia jalur lebar yang dipandang enteng ini tidak kurang hebat sebenarnya. Dengan kelajuan yang ditawarkan bermula daripada 10Mbps yang berharga RM 156.88 sebulan atau RM 15.70 untuk 1Mbps atau sehari lebih kurang sebanyak RM 5.23 jika dibahagikan selama sebulan

Astro IPTV menggunakan salah satu daripada dua penyedia perkhidmatan jalur lebar di Malaysia seperti Maxis Home Fibre dan Time Internet Broadband bergantung kepada lokasi kawasan premis yang anda duduki.

Ianya menggabungkan siaran TV berbayar Astro dan juga penyedia internet yang telah disebutkan diatas tadi, Dengan penggabungan ini maka kedua bil internet dah Astro akan disatukan menjadi 1 bil

Kelebihan

Anda juga mengetahui bahawa, Astro IPTV menawarkan siaran Astro tanpa menggunakan isyarat dari satelit dan menggunakan internet streaming sebagai medium untuk menonton siaran Astro. Tetapi adakah 10Mbps cukup untuk tontonan tersebut dan dalam masa yang sama mencukupi untuk bermain permainan atas talian? Astro IPTV telah menyatakan bahawa mereka mempunyai talian dedikasi internet khas untuk aktiviti atas talian dan tontonan Astro secara serentak. Jumlah yang disediakan adalah sebanyak 10Mbps untuk aktiviti atas talian dan 10Mbps untuk tontonan Astro. Maka tiada masalah untuk sebenarnya untuk bermain atas talian sekiranya anda menggunakan Astro IPTV.

Selain itu, sekiranya anda adalah pengguna Astro. Anda akan mendapat siaran HD secara percuma, penukaran dekoder biasa anda kepada dekoder PVR yang boleh membuat rakaman secara percuma, tiada lagi gangguan sewaktu mendung dan hujan kerana internet streaming yang digunakan, dan juga siaran VOD secara percuma.

Selain itu, anda juga akan mendapat rebat sebanyak RM 26.50 sebulan sekiranya anda melanggani pakej Superpack seperti kami. Dan suka untuk kami ulang bahawa kandungan sesuatu pakej internet itu penting bukan hanya untuk diri sendiri tetapi juga untuk ahli keluarga yang lain. Selepas anda bermain permainan konsol, kemungkinan besar ada ahli keluarga lain yang ingin menonton drama melayu di Astro maka tiada masalah kerana anda berjaya memuaskan diri anda dan seterusnya memuaskan selera orang lain pula.

Astro IPTV terdiri daripada dekoder dari Astro, modem dari TM dan router dari Maxis

sumber : kami sendiri — huehuehue

Kekurangan

Anda sedang fokus terhadap permainan atas talian anda, tiba-tiba sistem internet gagal berfungsi. Anda membuat panggilan kepada pihak Astro IPTV bagi memaklumkan masalah anda. Bersiap sedia dengan langkah birokrasi yang akan diambil oleh pihak Astro IPTV.

Anda membuat laporan kerosakan teknikal — Khidmat pusat pelanggan Astro IPTV mengambil laporan dan membuat laporan — Panggilan susulan daripada pihak Astro untuk mengesahkan kerosakan — Kerosakan adalah kritikal, laporan diserahkan kepada pihak Maxis — Pihak Maxis mengesahkan dan membuat laporan kepada pihak TM — Pihak TM datang ke rumah untuk membaiki kerosakan dan beberapa jam kemudian pihak Maxis akan datang ke rumah pula untuk mengesahkan pembaikkan kerosakkan tersebut

Tempoh untuk kesemua proses tersebut boleh mengambil masa seminggu atau lebih bergantung kepada jadual pemasang TM dan Maxis. Hal ini amat menyusahkan terutama bagi anda pemain tegar konsol dan juga untuk ahli keluarga lain kerana siaran Astro juga akan tergendala.

Kesimpulan

Untuk mencapai kenikmatan permainan atas talian secara optimum dari segi nilai ringgit anda dan kelajuan yang dicapai. Kami ada beberapa cadangan yang boleh diutarakan demi memenuhi kehendak dan nafsu pemain permainan konsol yang tegar seperti anda, dan tidak lupa juga untuk ahli keluarga yang lain yang tidak berminat dengan permainan konsol ini — siaran TV adalah hiburan mereka

1. Sekiranya anda tinggal di tempat / bangunan yang diliputi oleh TIME Fibre Broadband, cuba langgan pakej 100Mbps dan pakej termurah dari Astro (TIME Fibre Broadband 100Mbps tidak boleh bergabung dengan Astro IPTV kerana tiada dalam kontrak kerjasama melainkan TIME Fibre Broadband 10Mbps)

2. Sekiranya anda tidak begitu berminat untuk menonton siaran TV, dan ahli keluarga lain juga begitu maka langganlah TM Unifi 30Mbps / TIME Fibre Broadband 100Mbps dimana anda boleh memuat turun sepuas hati cerita yang anda mahu dan menonton perlawanan sukan secara dalam talian

3. Sekiranya anda memerlukan kualiti internet yang baik, siaran HD di TV anda semasa menonton perlawanan sukan, langganlah Astro IPTV kerana anda sedar anda sebenarnya bergilir dengan ahli keluarga yang lain untuk menggunakan satu-satunya TV di rumah anda.

4. Sekiranya anda mahu berjimat semua dalam satu, yakni data telefon bimbit, jumlah panggilan talian tetap dan internet yang stabil langganlah Maxis Home Fibre yang menggunakan pelan MaxisONE sebagai promosi.

*** Di dalam artikel ini, kami tidak membincangkan banyak lagi penyedia perkhidmatan jalur lebar lain seperti Whoopie, ABNxcess, Symphonet dan lain-lain kerana tiada masa. Tulis panjang-panjang siapa nak baca.

Like Facebook Konsol.My untuk mendapatkan info terkini tentang permainan video tanah air.