Berita

Microsoft Mengumumkan Tiga Alat Kawalan Terbaru Bagi Xbox One

Diolah oleh Konsol

Alat kawalan memang tidak asing lagi di dalam dunia permainan video. Sejak dari dahulu, kita dapat melihat bagaimana alat kawalan sesuatu konsol berevolusi dari segi penambahbaikan fungsi kawalan, rupabentuk dan juga mesra pengguna (ergonomik).

Selain daripada itu, alat kawalan bagi sesuatu konsol permainan video bukan sahaja berfungsi sebagai pengawal permainan semata-mata, bahkan ia turut boleh dijadikan sebagai barangan bagi golongan pengumpul.

Jadi tidak hairan jika kita melihat pelbagai syarikat bertungkus lumus untuk menghasilkan alat kawalan yang terbaik bagi memastikan ia mendapat pasaran yang meluas bagi setiap pencinta permainan video di dunia ini.

Disebabkan beberapa faktor yang diterangkan diatas, maka pihak Microsoft juga tidak mahu ketinggalan didalam persaingan untuk menghasilkan alat kawalan yang terbaik bagi memastikan setiap pemain konsol keluaran mereka bukan sahaja disajikan dengan alat kawalan yang berfungsi dengan cermerlang, malah sedap untuk dipandang.

Pada 3 hari yang lepas pihak Microsoft baru sahaja memperlihatkan tiga alat kawalan terbaru bagi konsol terlaris keluaran mereka iaitu Xbox One.

Dari segi fungsi, ia masih lagi mengekalkan kebolehan yang sama seperti yang ada pada alat kawalan Xbox One sebelum ini. Cuma perubahan yang paling ketara adalah dari segi rekabentuk dan warna yang lebih ceria serta menyegarkan.

Antara rekabentuk baru bagi alat kawalan Xbox One yang telah diumumkan ini seperti:

1 . Alat kawalan berwarna kelabu nada serta mempunyai warna aksen hijau dibawah pengawal analog.

2 . Alat kawalan yang dikenali sebagai Patrol Tech edisi khas yang berwarna biru gelap serta mempunyai paten naval airbone pada sisi pemegang.

3 . Alat kawalan 2 tona warna edisi khas iaitu merah jingga pada bahagian bawah alat kawalan beserta kemasan hitam bayang pada bahagian atas alat kawalan. Alat kawalan edisi khas ini dinamakan sebagai “Volcano Shadow” sinonim dengan rekabentuk warnanya.

Bagi alat kawalan kelabu nada ia akan dijual sekitar RM 278.22 (USD 64.99). Bagi pengawal edisi khas Patrol Tech dan Volcano Shadow pula ia akan dijual sekitar RM 299.63 (USD 69.99).

Nota: harga dinilai berdasarkan kepada kadar tukaran wang asing semasa. Mungkin akan mempunyai sedikit peningkatan jika ia dipasarkan kelak bagi pasaran Malaysia.

Rumusan

Sekali tengok kepada alat kawalan ini, memang terus membuak-buak rasa hati untuk memilikinya. Bukan sekadar fungsi alat kawalan Xbox yang memang terbukti lebih mesra pengguna dan sedap untuk digunakan. Tetapi rekabentuknya juga memang nampak amat menawan sekali.

Jadi, jika anda seorang peminat siri konsol Xbox, adakah anda akan menjadi orang pertama yang akan memiliki alat kawalan terbaru dari pihak Microsoft ini?

Kongsikan pendapat anda bersama kami diruangan komen. Segala pendapat dan pandangan anda amat kami hargai 🙂

Sumber: DualShockers

Ada apa-apa maklumat yang kami terlepas? Kongsikan pendapat anda di Facebook Twitter ataupun Instagram kami.

LIKE dan SHARE Facebook Konsol.My jika anda menyukai info terkini tentang permainan video di Malaysia.