Berita

Ojo Memperlihatkan Dok Nintendo Switch Dengan Projektor Terbina

Diolah oleh Konsol

Percaya tak anda jika kami katakan yang konsol hibrid Nintendo Switch adalah antara konsol yang paling berjaya pada tahun 2017 ini. Ini kerana, sejak akhir-akhir ini kita dapat melihat trend peningkatan jualan yang amat luar biasa yang dialami oleh konsol keluaran Nintendo ini.

Selain daripada itu, pada bulan lalu, Nintendo Switch dengan mudah mengalahkan persaing mereka dari segi angka jualan yang dicatatkan pada pasaran Jepun. Ini menunjukkan bahawa tidak dapat dinafikan lagi, konsol Nintendo Switch adalah konsol yang disukai ramai pada ketika ini.

Ramai peminat menggemari konsol hibrid ini adalah kerana kebolehan mobiliti yang ada pada Nintendo Switch yang tidak ada pada konsol lain. Seperti yang kita semua sedia maklum, Nintendo Switch boleh dimainkan secara mudah alih pada skrin terbina dan juga pada televisyen jika disambungkan pada sebuah dok khusus bagi Nitendo Switch.

Walaubagaimanapun, kebolehan Nintendo Switch ini tidak akan berhenti disitu sahaja. Ini kerana syarikat Ojo telah pun memperkenalkan dok terbaru khusus untuk Nintendo Switch dengan mempunyai projektor terbina.

Sebelum terciptanya dok daripada pihak Ojo ini, pengguna Nintendo Switch hanya boleh memainkan permainan video secara mudah alih pada skrin yang agak kecil yang terbina pada konsol Nitendo Switch.

Tetapi dengan menggunakan dok terbaru dari pihak Ojo, anda boleh memainkan permainan video pada skrin yang lebih besar secara mudah alih.

Ini  kerana dok Ojo mempunyai projektor terbina yang boleh dipancarkan ke sebarang permukaan rata dan dijadikan sebagai skrin selebar 120 inci.

Selain daripada itu, dok Ojo ini juga mempunyai bateri terbina 20000 mAh dan boleh dimainkan tanpa sebarang sambungan pada palam kuasa dan boleh bertahan sekitar 4 jam.

Pihak Ojo juga mengatakan bahawa dok khusus ini juga boleh di sambungkan pada komputer riba, sekaligus mengubah skrin komputer riba untuk menjadi lebih besar dan sesuai untuk menonton filem mahupun membuat perbentangan projek.

Akhir sekali, dok khusus ini masih belum dijual secara komersial, dan kini pihak Ojo bakal mengumpul dana di laman Indiegogo dalam masa terdekat bagi merealisasikan penjualan dok ini.

Rumusan

Apa kata anda? Perlu ke sampai kita memiliki dok dengan projektor terbina bagi Nintendo Switch?

Kongsikan pendapat anda bersama kami 🙂

Sumber: Nintendo Life

Ada apa-apa maklumat yang kami terlepas? Kongsikan pendapat anda di Facebook Twitter ataupun Instagram kami.

LIKE dan SHARE Facebook Konsol.My jika anda menyukai info terkini tentang permainan video di Malaysia.