Berita

Phil Spencer : Kandungan Tambahan Eksklusif Pada Konsol Tertentu Memburukkan Industri

Carlos Afifi
Diolah oleh Carlos Afifi

Walaupun ekspo E3 adalah satu acara untuk penerbit permainan video mempamerkan permainan terbaru dan projek-projek akan datang, ekspo ini juga merupakan tempat untuk membincangkan dan mengeluarkan pendapat tentang hala tuju industri permainan video itu sendiri.

Phil Spencer, ketua Xbox mempunyai pendapat beliau yang tersendiri tentang hala tuju industri permainan video. Dalam temu bual beliau bersama GameSpot di E3 2017, Spencer menyentuh isu berkaitan barangan eksklusif dalam permainan yang hanya di tawarkan untuk sesuatu konsol itu. “Saya bukanlah jenis individu yang berminat untuk mengeluarkan dan melakukan tawaran untuk barangan yang tidak boleh dimiliki di platfrom yang berbeza.” kata Ketua Xbox itu.

Terdapat beberapa permainan yang disahkan sepanjang E3 2017 yang menawarkan barangan atau ciri-ciri tertentu hanya pada konsol tertentu. Dua contoh ketara adalah Skyrim untuk Nintendo Switch yang akan ditawarkan kandungan dari The Legend of Zelda dan topi Mario dan Luigi dari Nintendo untuk Rocket League.

Isu yang dibangkitkan Spencer juga boleh dikaitkan dengan permainan Watch Dogs dan Destiny, dengan kedua-dua permainan menawarkan barangan/ciri eksklusif hanya untuk PS3/PS4 pada majlis pelancaran. Xbox juga pernah menggunakan strategi ini, seperti yang ditunjukkan oleh Xbox One untuk kereta eksklusif dalam permainan Rocket League.

Kesimpulannya, mengelakkan tawaran kandungan eksklusif dalam permainan merentasi-platfrom (cross-platform), pasti akan dilihat sebagai sesuatu yang positif oleh sesetengah pihak dan pastinya juga mendapat sambutan yang baik dikalangan peminat permainan video.

Pada hemat kami, tindakan sesetengah pengeluar konsol yang memonopoli pasaran permainan video adalah tidak wajar. Ini kerana penghasilan tawaran kandungan/ciri eksklusif dalam permainan yang dikhaskan untuk sesetengah konsol mewujudkan pengalaman permainan yang berbeza di kalangan peminat. Sepatutnya syarikat pengeluar konsol hanya perlu bersaing dalam pengeluaran konsol sahaja, tetapi bukan dari segi kandungan permainan video.

Sumber : game rant

Ada apa-apa maklumat yang kami terlepas? Kongsikan pendapat anda di Facebook , Twitter ataupun Instagram kami.

LIKE dan SHARE Facebook Konsol.My jika anda menyukai info terkini tentang permainan video di Malaysia.