Berita

PM Najib Telah Melancarkan Myren-X, Jalur Lebar Berkelajuan 100Gbps Untuk Semua IPTA

Diolah oleh hang92

Pada hari ini Datuk Seri Najib Razak telah melancarkan infrastruktur siber jalur lebar berkelajuan tinggi 100 Gigabit sesaat (Gbps) iaitu dikenali sebagai MYREN-X ataupun Malaysian Research and Education Network

Untuk pengetahuan anda, MYREN pada permulaannya dilancarkan pada tahun 2005, tetapi hanya menghubungkan 12 universiti awam. Kini rangkaian ini diluaskan lagi sehingga meliputi 150 institusi terdiri daripada 20 universiti awam, 4 universiti swasta, 31 politeknik, 85 kolej komuniti dan 5 lagi bagi hospital/fakulti perubatan dan agensi Kementerian Pendidikan Tinggi.

Ia selaras dengan pengumuman PM Najib ketika membentangkan Bajet 2017 yang mengumumkan kerajaan akan melaksanakan inisiatif untuk meningkatkan kapasiti jalur lebar di IPTA kepada 100 Gbps bagi memastikan infrastruktur siber di semua IPTA setanding dengan negara maju lain.

“Saya yakin MYREN-X bukan saja akan mempunyai infrastruktur siber yang moden serta serba canggih, bahkan dapat mewujudkan satu ekosistem penyelidikan dan pendidikan yang semakin meluas serta bercitra baharu, seterusnya berupaya menyumbang kepada negara mahupun di peringkat antarabangsa,” katanya pada majlis pelancaran di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya di sini, hari ini.

MYREN-X bukan saja akan membolehkan rakyat Malaysia mengakses pendidikan di luar negara secara dalam talian, bahkan membolehkan rakyat luar negara mengakses pendidikan di negara ini.

Perdana Menteri berkata, MYREN yang dilancarkan dahulu pada 2005 tidak mencukupi untuk menampung aktiviti penyelidikan dan pendidikan pada tahap seperti universiti lain yang berada pada kedudukan 50 teratas di dunia serta setara dengan infrastruktur siber yang dinikmati negara maju.

Beliau berkata, keadaan itu mengakibatkan penyelidik dan pendidik masih terbatas dan ketinggalan dalam pelbagai bidang khususnya menghasilkan kajian berimpak tinggi.

sumber: Berita Harian 

Ada apa-apa maklumat yang kami terlepas? Kongsikan pendapat anda di Facebook Twitter ataupun Instagram kami.

LIKE dan SHARE Facebook Konsol.My jika anda menyukai info terkini tentang permainan video di Malaysia