Berita

Rakyat Malaysia Menghabiskan RM2.45 Bilion Untuk Permainan Pada Tahun 2017, Tertinggi Di Asia Tenggara

Diolah oleh hang92

Rakyat Malaysia merupakan pengguna tertinggi untuk pembelian permainan lebih daripada mana-mana negara di Asia Tenggara pada tahun ini. Sebanyak RM2.45 bilion telah dihabiskan setakat ini bermula pada Januari 2017 dengan kebanyakkan perbelanjaan digunakan untuk keperluan permainan mudah alih telefon bimbit.

Selain itu, data yang diperoleh daripada syarikat penyelidikan, Newzoo menyatakan bahawa peratusan selebihnya iaitu sebanyak 35% perbelanjaan dikuasai oleh pengguna PC dan sebanyak 14% pula dikuasai oleh pengguna konsol.

Newzoo menganggarkan bahawa sebanyak RM212 bilion akan dibelanjakan oleh rantau Asia Pasifik pada tahun ini. Anggaran ini melebihi jumlah daripada tahun lepas sebanyak 9.2%. Angka ini juga mewakili 47% daripada keseluruhan keuntungan yang dijana di seluruh dunia.

Untuk pengetahuan anda, China merupakan negara terbanyak menghabiskan wang untuk keperluan permainan, sehingga dijumlahkan sebanyak RM113.1 bilion, dan semestinya permainan telefon bimbit menguasai majoriti carta pai perbelanjaan tersebut.

Pada pendapat kami, perbelanjaan yang semakin meningkat di dalam arena permainan terutamanya telefon bimbit merupakan suatu tanda-tanda yang negatif. Setiap minit yang diluangkan untuk permainan telefon bimbit bermakna setiap minit terbuang kerana tidak dapat meluangkan masa dengan keluarga dan kawan-kawan.

Selain itu, hal ini juga terjadi kerana gaya ibu bapa kini yang sanggup membeli aplikasi permainan semata-mata untuk hiburan anak-anak dengan tujuan agar tidak mengganggu masa senggang mereka.

Apakah pendapat anda? Kenapa trend ini terjadi? Dan adakah sikap ini juga diamalkan oleh kenalan terdekat anda?

Sumber: lowyat.netThe Malaysian Reserve

Ada apa-apa maklumat yang kami terlepas? Kongsikan pendapat anda di Facebook Twitter ataupun Instagram kami.

LIKE dan SHARE Facebook Konsol.My jika anda menyukai info terkini tentang permainan video di Malaysia.