Berita

Square Enix Akan Memberi Tumpuan Untuk Nintendo Switch

Carlos Afifi
Diolah oleh Carlos Afifi

Sudah beberapa tahun, Square Enix telah menyokong kebanyakan platform di pasaran dengan pelbagai tajuk permainan. Tahun 2017 juga tiada bezanya, dengan permainan seperti NieR Automata dan lain-lain hadir ke platform PC dan konsol. Walau bagaimanapun, Square Enix mempunyai perancangan untuk memberi tumpuan kepada satu platform baru ini.

CEO untuk Square Enix, Yosuke Matsuda, mengesahkan bahawa Square Enix akan menyokong platform Nintedo Switch, Xbox Scorpio dan Windows 10 tetapi mereka akan lebih memberi tumpuan kepada Nintedo Switch.

Yosuke Matsuda turut mengesahkan bahawa beliau berhasrat untuk melihat penambahan pembangunan tajuk-tajuk baru permainan yang boleh disokong di pelbagai platform. Perkara ini secara umumnya memang satu langkah yang baik untuk pembangun dan penerbit permainan.

Setakat ini Square Enix masih belum mengumumkan sebarang tajuk permainan yang akan hadir ke Nintendo Switch, walaupun mereka telah beberapa kali memuji platform itu.

Salah satu daripada tajuk yang disahkan dari penerbit Jepun adalah Seiken Densetsu Collection, yang kelihatan berpeluang untuk berada di pasaran Barat walaupun Seiken Densetsu 3 tidak pernah berada di pasaran Barat secara rasmi.

Semestinya ini adalah satu berita yang baik untuk pemilik atau bakal pemilik konsol Nintendo Switch.

Seperti yang diketahui ramai, Nintendo Switch masih kekurangan pilihan tajuk permainan. Dengan perancangan dari Square Enix ini, pasti para pemilik Nintendo Switch akan mempunyai lebih pilihan pada masa akan datang.

Antara permainan yang dikeluarkan oleh Square Enix adalah siri Final Fantasy, Nier: Automata, Hitman, Just Cause 3, siri Call of Duty dan pelbagai lagi.

Sumber: wccftech

Ada apa-apa maklumat yang kami terlepas? Kongsikan pendapat anda di Facebook , Twitter ataupun Instagram kami.

LIKE dan SHARE Facebook Konsol.My jika anda menyukai info terkini tentang permainan video di Malaysia.